Jumlah 2.3 juta rakyat divaksin masih rendah - Utusan Malaysia

Jumlah 2.3 juta rakyat divaksin masih rendah

KERAJAAN akan menggerakkan asetnya untuk membantu meningkatkan pendaftaran pengambilan vaksin terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jumlah individu yang menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) masih rendah jika dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah populasi rakyat dianggarkan kira-kira 32 juta orang, tetapi yang telah menerima suntikan vaksin hanya 2.3 juta sahaja.

“Seramai 1.4 juta telah menerima dos pertama manakala 870,051 pula sudah lengkap mengambil dos kedua.

“Jumlah ini tidak sampai dua peratus daripada populasi rakyat Malaysia, namun, saya yakin jumlah penerima vaksin akan meningkat apabila lebih banyak dos vaksin tiba menjelang Jun nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AstraZeneca di Ideal Convention Centre Shah Alam (IDCC) di sini hari ini.

Terdahulu, dalam satu program bual bicara khas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan semua rakyat Malaysia dijangka diberi suntikan vaksin Covid-19 sebelum hujung tahun ini.

Malah, beliau turut memberi jaminan semua bekalan vaksin yang ditempah kerajaan akan tiba lebih awal daripada perancangan iaitu sebelum berakhirnya tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, hanya 30 peratus daripada 1,400 PPV dirancang dibuka kerajaan sebelum ini beroperasi kerana jumlah bekalan vaksin yang masih rendah.

“Kita sedang mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak PPV sekiranya menerima lebih banyak jumlah dos vaksin daripada syarikat pembekal vaksin.

“Sekiranya lebih banyak PPV dibuka, kerajaan menjangkakan kira-kira 150,000 dos vaksin dapat diberikan kepada orang awam dalam tempoh sehari. Kerajaan setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM3.16 bilion untuk pembelian bekalan vaksin Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman mengingatkan mana-mana individu yang demam atau merupakan kontak rapat tidak melakukan ujian di program saringan dianjurkan kerajaan negeri.

“Sekiranya, individu demam atau kontak rapat kepada pesakit Covid-19, jangan buat saringan di situ berikutan JKNS akan mencari mereka.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu khuatir untuk melakukan ujian saringan selagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sekiranya terdapat segelintir mereka yang merupakan pembawa senyap ketika saringan dilakukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya