JKKP keluar empat notis kes pekerja maut disambar petir - Utusan Malaysia

JKKP keluar empat notis kes pekerja maut disambar petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor telah mengeluarkan empat notis terhadap sebuah syarikat pembinaan ekoran kejadian seorang pekerjanya maut disambar petir di sebuah tapak pembinaan di Taman Industri Jaya, Skudai, kelmarin.

Pengarah JKKP Johor, Ir. Mohd. Rosdee Yaacob berkata, dalam kejadian pukul 3.45 petang itu, seorang pekerja warga Bangladesh berusia 39 tahun sedang melakukan kerja menuang konkrit menggunakan kaedah dan kren berantai.

Katanya, siasatan awal mendapati cuaca ketika itu mendung sebelum berlaku dentuman kuat semasa mangsa sedang melakukan kerja.

“Mandur dan rakan sekerja mangsa mengesahkan kren berantai yang sedang digunakan itu disambar petir manakala mangsa rebah di lokasi berhampiran dengan kesan koyakan pada baju dan seluar.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rosdee, pihaknya mengeluarkan dua notis larangan mengarahkan majikan mengambil tindakan serta-merta bagi mengadakan penaksiran dan kawalan risiko komprehensif dan Kawalan Risiko dan Prosedur Kerja Selamat (SOP) bagi aktiviti kerja penuangan konkrit. 

“Dua lagi notis dikeluarkan adalah notis pembaikan untuk majikan mengemukakan laporan siasatan dalaman kejadian dan laporan lengkap berkaitan peranti keselamatan yang dipasang pada kren berantai tersebut,” ujarnya.

SEORANG buruh binaan warga Bangladesh maut disambar petir ketika sedang melakukan kerja menuang konkrit di sebuah tapak pembinaan di Skudai, Johor.

Mohd. Rosdee berkata, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika majikan memikul tanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya melibatkan pekerja mahupun orang awam,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya