Jaga nyawa melalui vaksin wajib - Utusan Malaysia

Jaga nyawa melalui vaksin wajib

ABDUL AZIZ JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menjaga nyawa melalui pengambilan vaksin adalah wajib sebagai usaha melindungi diri dan orang sekeliling daripada jangkitan pandemik Covid-19 yang boleh membawa maut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, orang ramai khususnya umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk mengambil vaksin.

Ini kerana, tegas beliau, ia disahkan selamat dan berkesan berdasarkan kajian dilaksanakan pihak autoriti yang diberi tanggungjawab melalui Kementerian Kesihatan.

Apatah lagi, kata beliau, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-10 yang dihadiri mufti-mufti negeri dan pakar dalam pelbagai bidang pada 3 Disember tahun lalu, sepakat dan memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Co­vid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Justeru, kata beliau, adalah amat mengecewakan masih ramai rakyat gagal hadir menerima suntikan vaksin yang antaranya tidak menyatakan alasan berbuat demikian sedangkan ia adalah usaha bagi mencegah penularan jangkitan melalui perlindungan kelompok.

“Berdasarkan prinsip Ma­qasid Syariah, mengambil vaksin adalah salah satu usaha dalam menjaga nyawa yang merupakan suatu kewajipan selain daripada menjaga agama, akal, keturunan dan harta,” katanya di sini semalam.

Abdul Aziz berkata, segelintir pihak yang kurang bertanggungjawab diingatkan tidak membuat dakwaan negatif terhadap pengambilan vaksin Co­vid-19 sehingga menyebabkan masyarakat menjadi ragu dan keliru.

Netizen juga disaran agar dapat terus mengoptimumkan platform media sosial dengan menyebarkan informasi yang positif berkaitan vaksin Covid-19 supaya peratusan masyarakat yang mendaftar untuk vaksin terus meningkat.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad mengingatkan mereka yang suka menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19 bahawa perbuatan mereka bukan hanya membawa darurat malah dimurkai Allah SWT.

Katanya, Islam menuntut umatnya berikhtiar mencari penawar jika wujudnya penyakit.

“Kita bertakwa kepada Allah SWT dan kerana itu kita harus tahu setiap bala ataupun penyakit yang Allah SWT turunkan itu sudah tentu akan ada juga ubatnya. Sekarang ini kita telah menemui ikhtiar yang diusahakan oleh pakar daripada seluruh dunia. Setakat ini, vaksin adalah ikhtiar yang paling boleh diterima.

“Orang yang antivaksin ini seolah-olah dia tidak mahu berikhtiar langsung. Kalau mati, matilah. Tiada orang beriman yang bersikap begitu,” katanya ketika dihubungi.

Dengan nada sama, pendakwah, Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai PU Amin berkata, vaksin adalah salah satu urusan ikhtiar yang telah diajarkan supaya dilaksanakan.

PU AMIN

 

“Untuk mendapatkan penyelesaian, kita haruslah rujuk kepada mereka yang pakar seperti sekarang, kita ada masalah wabak yang merisikokan kesihatan, kita harus rujuk pada Ahlul Khibrah yang merupakan pakar-pakar kesihatan kita,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Amin, penyebaran berita-berita tidak sahih malah mempengaruhi pendapat orang lain terhadap ikhtiar ini adalah satu kemungkaran yang sangat dimurkai Allah SWT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN