Isteri setia jaga suami terlantar sakit - Utusan Malaysia

Isteri setia jaga suami terlantar sakit

NORJANARIAH ABDUL HALIM memberi penjelasan kepada Hishamuddin Abdul Karim (kiri, bersongkok) mengenai keadaan suaminya, Amirul Hayat Noor Azman yang terlantar sakit di Taman Dato’ Tamby Chik Ramli, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setia hingga akhir hayat, kerana kasih seorang isteri hanya kepada suaminya terutama di ketika suami ditimpa musibah.

Itulah janji seorang isteri, Norjanariah Abdul Halim, 28, yang setia menjaga suaminya, Amirul Hayat Noor Azman, 23, yang terlantar sakit akibat ketumbuhan di dalam kepala.

Amirul Hayat yang telah menjalani tiga pembedahan membuang ketumbuhan itu, kini hanya terlantar dan tidak lagi mampu bergerak.

Setiap empat jam setiap hari, Norjanariah akan memasukkan susu khas menggunakan tiub melalui saluran hidung untuk memberi makan minum kepada suaminya.

“Sejak pembedahan ketiga pada Mac lalu, Amirul Hayat tidak lagi mampu bergerak. Makan minumnya perlu diuruskan melalui saluran tiub.

“Itulah rutin saya dan saya beruntung kerana dibantu oleh ibu bapa mentua,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato’ Tamby Chik Ramli dekat sini.

Pasangan itu mendirikan rumah sejak lebih setahun lalu dan hanya sempat menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama pada tahun lalu.

“Ramadan dan Aidilfitri tahun ini amat berbeza kerana Amirul hanya terlantar di atas katil. Namun, saya tetap setia menjaganya hingga akhir hayat. Saya tetap gembira menyambut Ramadan dan Aidilfitri kerana Amirul berada di sisi saya.

“Saya juga tidak berputus asa dan sentiasa berdoa agar berlaku keajaiban bahawa Amirul dapat sembuh dan pulih seperti sedia kala,’’ katanya.

Pasangan berkenaan hari ini diziarahi oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim dan juga pegawai Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Amirul yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Kajang, menjalani tiga pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

Sejak tahun lalu hinggalah dia tidak dapat bergerak sejak Mac lalu, Amirul tidak menerima sebarang pampasan Perkeso.

Hishamuddin ketika diajukan soalan berkata, lawatan mengejut hari ini dibuat setelah menerima maklumat mengenai nasib pasangan berkenaan.

Jelasnya, keluarga berkenaan tidak mengetahui cara dan bentuk bantuan yang boleh mereka perolehi jika ada ahli keluarga yang terlantar sakit.

“Sehubungan itu, kita akan uruskan pampasan Perkeso untuk Amirul Hayat manakala MAIM pula akan memberikan bantuan yang perlu,” kata Hishamuddin yang juga Pengerusi MAIM Industries Sdn. Bhd., anak syarikat Majlis Agama Islam Melaka.

Difahamkan, Amirul layak menerima bantuan bulanan kira-kira RM500 daripada MAIM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya