Hotel bajet dikompaun langgar SOP PKPD - Utusan Malaysia

Hotel bajet dikompaun langgar SOP PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah hotel bajet di sini dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila didapati beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sini bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, hasil pemeriksaan Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPD Ibu pejabat Polis (IPD) Kota Setar mendapati, hotel berkenaan beroperasi dan melanggar peraturan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Hotel tersebut didapati beroperasi dan melanggar SOP PKPD Kota Setar yang telah ditetapkan oleh MKN.

“Kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik hotel tersebut yang berusia 60-an,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, hotel antara sektor tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak termasuk dalam sektor perkhidmatan perlu.

“Pemeriksaan di hotel tersebut mendapati terdapat seorang wanita warganegara Thailand berusia lingkungan 30-an yang didaftarkan sebagai pelanggan didapati menginap di salah sebuah bilik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen perjalanan wanita Thailand tersebut tamat tempoh. Tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambah beliau, dalam pemeriksaan dijalankan di hotel tersebut, pasukan pemantau turut mengenakan kompaun ke atas dua individu yang berada dalam sebuah kenderaan di hadapan hotel tersebut.

“Kompaun turut dikenakan terhadap kedua-duanya yang turut tidak mematuhi SOP PKPD ditetapkan.

“Pada hari pertama PKPD dilaksanakan di Kota Setar, sembilan kompaun dikeluarkan yang melibatkan pelbagai ketidakpatuhan kepada SOP PKPD,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN