PUTRAJAYA: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina di Sarawak dan Kelantan bagi menampung keperluan pesakit Covid-19 susulan peningkatan kes positif di negeri berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Pertahanan bagi mewujudkan hospital berkenaan berikutan wujud keperluan bagi pembinaan hospital itu berdasarkan situasi semasa kes Covid-19 di dua negeri berkenaan.
“Hospital medan ini kelak akan menempatkan pesakit Covid-19 supaya bebanan di hospital yang terjejas dapat dikurangkan selain tumpuan dapat diberikan kepada pesakit yang kritikal,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.
Sebelum ini, sebuah Hospital Medan dibuka di Tawau, Sabah pada 20 Oktober tahun lalu susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu sebelum ditamatkan operasi pada 6 Januari lalu.
Hospital yang menawarkan perkhidmatan perawatan dan perubatan itu berjaya merawat lebih 1,366 pesakit sepanjang beroperasi.
Sementara itu Adham berkata, pihaknya sudah menggerakkan 8,000 petugas kesihatan daripada pelbagai jabatan di seluruh negara sejak 11 Januari lalu bagi menampung keperluan menangani penularan Covid-19 di negara ini.
Malah katanya, pada ketika ini, 800 petugas kesihatan sudah digerakkan ke Sarawak bagi meringankan beban tugas petugas kesihatan di negeri itu.
“Selain itu, kami juga sudah melaksanakan pergerakan dalaman petugas kesihatan daripada jabatan pergigian bagi menampung keperluan di Kelantan.
“Kami turut menggerakkan pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) bagi keperluan tugas di wad-wad kritikal di beberapa hospital di Kelantan,” katanya.
Pada masa sama Adham berkata, kementeriannya kini sedang menguruskan tambahan seramai 11,000 petugas kesihatan untuk ditempatkan di seluruh negara.










