Harussani ulama tegas, dihormati - Utusan Malaysia

Harussani ulama tegas, dihormati

Harussani Zakaria menerima Anugerah Tokoh Ar-Ridzuan pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Perak 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.45 petang semalam setelah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kerana positif Covid-19.

Beliau menghembus nafas yang terakhir pada usia 82 tahun, paling lama menjawat jawatan Mufti Perak iaitu sejak 1985.

Berasal dari Tanjung Piandang, Parit Buntar, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Ainon Abdul Ghani dan memiliki empat orang anak

Pemergian beliau kehilangan amat besar buat masyarakat Islam dan negara.

Arwah dikenali sebagai seorang agamawan yang berilmu tinggi, disegani dan amat tegas.

Perjalanan menjadi mufti beliau bermula apabila menjawat jawatan kadi di Jabatan Agama Pulau Pinang bermula 1967 hingga 1973, kemudiannya dilantik Kadi Besar dari 1973 hingga 1985.

Kefasihan Harussani dalam mengulas isu-isu agama Islam melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Mufti Perak bermula 1985.

Beliau dikenali cukup lantang dalam menyua­rakan pandangan sehingga ada yang menggelarkannya sebagai mufti kontroversi.

Sepanjang menjadi Mufti Perak, pendapat dan teguran beliau dalam semua aspek termasuk pentadbiran, hukum agama dan politik sentiasa diberikan perhatian.

Beliau merupakan ulama yang tegas, sering memberikan teguran dan larangan jika berlaku isu sosial dan akidah atau dalam masyarakat.

Antaranya, beliau menyatakan kebimbangan terhadap orang Melayu yang dikatakan murtad terpengaruh dengan ajaran agama lain, tarian poco-poco, amalan yoga dan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Beliau juga pernah menegur secara terbuka seorang pendakwah bebas terkenal yang berceramah secara berjenaka dengan mengatakan hukum majlis ilmu agama disulami lawak jenaka adalah haram.

Beliau mempunyai hubu­ngan yang cukup erat dengan pihak istana yang sentiasa mendapatkan nasihat beliau terutama dalam hal ehwal agama.

Suaranya juga lantang dalam politik tanah air apabila selalu memberikan pandangan dan teguran dalam isu politik yang menjadi panas apabila disahut oleh pihak yang menerima teguran.

Antaranya beliau pernah menegur Pas yang menyebabkan masyarakat Islam khusus orang-orang Melayu berada dalam keadaan berpecah belah.

Beliau pernah menasihatkan para pemimpin Pas supaya berhenti mengeluarkan fatwa yang songsang sesuka hati kerana ia mengelirukan umat lslam.

Pengalaman penulis yang pernah menemu bual Harrussani di kediaman sedikit masa dahulu dapat menyelami harapan besar beliau yang mahu melihat orang Melayu bersatu setelah sekian lama berpecah disebabkan politik.

Arwah amat berharap UMNO dan Pas akan bersatu suatu hari nanti untuk menerajui negara dan menegakkan syariat Islam.

Kini harapan dan impian beliau itu nampaknya sudah tertunai dan termakbul walaupun kerjasama UMNO dan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) ketika ini agak goyah.  Al-Fatihah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN