KEMAMAN: Kebanyakan parti politik di negara ini termasuk pembangkang disifatkan masih belum bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kecuali UMNO.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin meningkat tumpuan seharusnya difokuskan kepada aspek kesihatan rakyat di samping memulihkan ekonomi negara.
Sehubungan itu, beliau bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar PRU-15 ditangguhkan hingga tamat penggal Parlimen pada 2023.
“Rata-rata parti politik seperti DAP, PKR serta Parti Amanah Negara (Amanah) masih belum bersedia untuk berdepan PRU-15, hanya UMNO yang mahukan PRU dan kita tidak tahu apa nawaitu dia (UMNO).
“Apa yang dikatakan Tun memang wajar kerana kita sekarang sedang berdepan dengan sesuatu yang lebih penting iaitu kesihatan dan Covid-19 yang belum pulih,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di sini hari ini.
Semalam, muka depan Utusan Malaysia melaporkan pandangan Mahathir yang PRU-15 tidak sesuai diadakan pada tahun ini ekoran situasi pandemik Covid-19 yang kian membimbangkan.
Malah beliau percaya pelaksanaan PRU pada tahun ini hanya akan mengakibatkan penularan jangkitan lebih dahsyat.










