Hajiji sifatkan isu pertukaran kerajaan Sabah satu propaganda - Utusan Malaysia

Hajiji sifatkan isu pertukaran kerajaan Sabah satu propaganda

HAJIJI NOOR (tengah) diiringi oleh Ir. Shahelmey Yahya (kiri) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Meruntum yang ditempatkan di Dewan Sri Serigai Putatan, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTATAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menepis dakwaan akan berlaku pertukaran kerajaan di negeri ini seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) ini berkata, perkara itu hanya satu bentuk propaganda yang cuba merosakkan perpaduan dalam kalangan parti pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kerajaan GRS begitu stabil dan kita mempunyai satu keadaan politik yang stabil. Kita telah diberi mandat untuk memerintah jadi fokus kita sekarang adalah membangunkan negeri Sabah.

“Saya tidaklah memberi perhatian kepada isu seumpama ini dan hari ni kita baca Setiausaha Agung PBS juga telah membuat penafian mengenai perkara ini,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Meruntum di Dewan Sri Serigai hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Ir. Shahelmey Yahya.

Menurutnya, isu ini dibangkitkan sebagai satu mainan pihak tertentu yang cuba menggugat perpaduan dalam kerajaan GRS yang baru memerintah Sabah.

Beliau berharap rakyat Sabah tidak terpengaruh dengan isu yang dimainkan ini kerana GRS ingin memberi fokus kepada usaha membangunkan negeri Sabah seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Dalam majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) untuk diagihkan kepada keluarga mangsa kebakaran yang terlibat.

Semalam Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan kembali dan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dinafikan kerana perkara itu tidak benar dan ianya hanya satu dakwaan liar.

Spekulasi pertukaran kerajaan itu dibangkitkan susulan ketegangan antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Kemudian diikuti dengan kenyataan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili yang menyatakan PBS terbuka untuk bekerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN