Gerakan buat laporan SPRM isu monopoli bekal, edar ayam - Utusan Malaysia

Gerakan buat laporan SPRM isu monopoli bekal, edar ayam

H'NG Khoon Leng (dua dari kanan) bersama ahli Gerakan Pulau Pinang menyerahkan dokumen berhubung isu monopoli pembekalan dan pengedaran ayam di Pejabat SPRM, Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) susulan isu monopoli pembekalan dan pengedaran ayam di negeri ini.

Ketua Biro Pengaduan Awam Gerakan negeri, H’ng Khoon Leng berkata, pihaknya membuat laporan berkenaan menerusi portal SPRM pada pukul 7.35 pagi ini dan seterusnya menyerahkan dokumen tambahan berhubung isu berkenaan ke pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Kita memohon SPRM segera menyiasat isu itu bagi memastikan rakyat tidak terjejas jika berlaku salah laku dan kemungkinan rasuah berhubung isu pembekalan ayam berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan pejabat SPRM negeri di sini.

Pada 8 April lalu, Gerakan dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berhubung isu pembekalan ayam dan penggunaan peti sejuk (chiller) yang didakwa membebankan peniaga ayam di bahagian pulau negeri ini.

Selain penyerahan memorandum bantahan di Komtar itu, lebih 30 peniaga ayam turut berkumpul secara aman bagi menyuarakan bantahan terhadap larangan aktiviti penyembelihan di premis MBPP yang akan dikuatkuasakan Jun nanti.

Sebelum ini, MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.

Menurut Khoon Leng, pihaknya telah mengemukakan 10 asas berhubung isu itu kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.

“Kami tidak boleh mendedahkan secara terperinci asas-asas berkenaan namun kami ada menyatakan SPRM perlu menyiasat tender yang diberikan kepada kontraktor.

“Salah satu tender diberikan kepada syarikat yang tidak terlibat dalam industri penternakan ayam, sepatutnya tender ini perlu diberikan kepada mereka yang tahu dan lama berkecimpung dalam industri ini,” katanya.

Tambahnya, selain itu terdapat juga persoalan dalam projek pembinaan pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Pasar Awam Batu Lanchang di sini.

“Kami meminta SPRM menyiasat tender berhubung pembinaan pusat ini yang dikatakan telah diberikan secara request for proposal (RFP) itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN