TUMPAT: Beberapa pendekatan diambil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menangani isu lambakan hasil pertanian seperti buah-buahan yang gagal dipasarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, antaranya menggerakkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) semaksimum mungkin untuk membantu petani terbabit.
“Agensi itu memainkan peranan membeli hasil pertanian yang dikeluarkan petani-petani yang terjejas sebelum memasarkannya ke seluruh negara secepat mungkin.
“Selain itu, kita turut bantu petani mencari pembeli sendiri dengan cara mengaturkan pertemuan mereka dengan pemain-pemain industri yang berpotensi untuk membeli hasil tanaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau agihan makanan kepada penduduk di Kepulauan Tumpat, di sini yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 4 Jun depan.
Terdahulu, akhbar ini pernah melaporkan keluhan petani terutama penanam tembikai yang teruk terkesan apabila hasil tanaman mereka tidak laku dijual dalam tempoh PKP yang sudah berlarutan lebih sebulan di Kelantan.
Mengulas lanjut, Che Abdullah berharap para petani memanfaatkan sebaik mungkin agensi-agensi serta jabatan kerajaan untuk menyalurkan masalah dan meminta khidmat nasihat bagi mengatasi perkara itu.
Katanya, di peringkat kementerian pula, pihaknya sentiasa ‘berjalan’ untuk melihat dan mencari alternatif terbaik dalam membantu rakyat yang terkesan.
Dalam perkembangan lain, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, bekalan makanan sepanjang tempoh PKP 3.0 mencukupi dan rakyat tidak perlu khuatir kemungkinan berdepan masalah terputus bekalan.- UTUSAN ONLINE










