PETALING JAYA: Pas berpeluang bertanding sekurang-kurangnya separuh daripada kerusi blok pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sekiranya parti itu menerajui jajaran baharu pembangkang.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kedudukan Pas kini lebih dominan selepas hubungan politiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terputus.
Katanya, penubuhan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pimpinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengubah landskap pembangkang apabila parti baharu itu dilihat berpotensi menggantikan Bersatu sebagai rakan politik Pas.
Mengulas pembahagian kerusi, Mazlan berkata, formula pengagihan kerusi berkemungkinan dibuat berdasarkan keputusan pilihan raya lalu dengan kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu diberikan kepada Wawasan.
Katanya, Pas pula dijangka mengekalkan kerusi yang pernah ditandinginya, namun tidak mustahil parti itu akan menuntut tambahan kerusi.
“Kemungkinan Pas memperoleh sekurang-kurangnya separuh daripada kerusi pembangkang adalah munasabah berdasarkan kekuatan jentera serta kedudukan Wawasan yang masih bergantung kepada sokongan parti itu.
“Wawasan dijangka banyak bergantung kepada sokongan dan pengaruh Pas. Tanpa sokongan Pas, parti itu mungkin sukar untuk berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menjangkakan Pas akan mengetepikan Bersatu dalam pengagihan kerusi bagi PRN di kedua-dua negeri berkenaan.
Beliau malah berkata, kedudukan Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lemah kerana hanya mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan di Negeri Sembilan.
“Pengagihan kerusi di kedua-dua negeri itu hanya akan mengambil kira Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah, sekiranya mahu dikaitkan dengan kelompok bekas Bersatu.
“Bagi saya, Pas akan mengetepikan Bersatu pimpinan Muhyiddin daripada bertanding di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebarang pengagihan kerusi PN bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diputuskan secara bersama oleh semua parti dalam gabungan itu.
“Soal bilangan kerusi, Pas akan berbincang dan membawanya ke peringkat PN untuk dimuktamadkan. Ia akan diputuskan secara bersama nanti,” katanya.
Mengulas penggunaan logo PN, Tuan Ibrahim berkata, semua parti anggota berhak menggunakan logo gabungan tersebut.
Oleh itu, katanya, tidak timbul isu sekiranya Bersatu menggunakan logo PN untuk bertanding dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Buat masa ini, Bersatu masih menjadi anggota PN sehingga sebarang keputusan lain dibuat dalam mesyuarat PN. Logo PN adalah milik semua parti anggota,” katanya.
Dalam pada itu, Pas Johor masih belum memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi dan sedang menunggu ketetapan rasmi Pas Pusat.
Ketua Penerangan Pas Johor, Mohd. Firdaus Jaffar berkata, perkara itu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Pas Pusat pada Rabu ini.
Diminta mengulas kemungkinan Pas bertanding separuh daripada kerusi blok pembangkang, beliau berkata, proses perundingan masih berjalan dan belum ada keputusan dibuat.
“Pas Johor masih menunggu ketetapan rasmi Pas Pusat yang dijadualkan bermesyuarat pada 17 Jun. Insya-Allah, kita sama-sama tunggu perkembangan lanjut pada Rabu ini,” katanya. – UTUSAN










