Rafizi hanya mahu uji tahap sokongan

Rafizi hanya mahu uji tahap sokongan

MUHAMMAD Izuan Ahmad Kasim (dua dari kiri) ketika ditemui di Kangar, Perlis semalam. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keputusan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak akan memberi kesan atau mengacau undi Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya langkah Bersama itu dilihat hanya sebagai medan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli menguji tahap sokongan rakyar terhadap parti itu.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, sesetengah parti politik menggunakan PRN Johor dan Negeri Sembilan sekadar untuk ‘test market’ atau menguji sejauh mana sokongan dan penerimaan rakyat terhadap mereka.

Beliau tidak pasti di kerusi mana yang Bersama bakal bertanding dan ia tidak akan memberi kesan terlalu besar kepada PKR atau PH.

“Saya ingat, PKR ini telah melalui pelbagai jenis rintangan membabitkan parti-parti lain yang bertanding lawan kita termasuk yang dulu bersama dan kini melawan kita.

“Saya ucapkan selamat maju jayalah kepada parti Bersama (Rafizi) dan saya percaya pengundi akan memilih parti yang berkeupayaan membentuk kerajaan. Untuk di Johor dan Negeri Sembilan, saya jangka tidaklah beri kesan terlalu besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Izuan berkata, peluang PH memenangi PRN Johor dan Negeri Sembilan masih terbuka serta seimbang.

Katanya, situasi atau demografi di kedua-dua negeri tersebut adalah berbeza, selain turut mempunyai isu-isu tersendiri.

“Di Johor, antaranya kita boleh menilai berdasarkan prestasi kerajaan negeri sedia ada. Bagaimanapun, kita yakin dengan gerak kerja telah dilaksanakan, tidak mustahil PH mampu mencapai keputusan yang baik.

“Jika kita lihat trend sebelum ini, UMNO sering mengharapkan kadar keluar mengundi rendah. Sebaliknya, apabila jumlah pengundi keluar mengundi tinggi seperti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, keputusan diterjemahkan kepada jumlah kerusi sering kali tidak memihak kepada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Izuan berkata, AMK menyasar mengenengahkan calon dari sayap parti itu di sekurang-kurangnya lima kerusi masing-masing di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, bagi PRN Johor, AMK mengemukakan antara tujuh hingga lapan nama, manakala untuk Negeri Sembilan pula, sekitar enam nama.

“Bagaimanapun, keputusan akhir calon yang layak bertanding dalam kedua-dua PRN tersebut diserahkan kepada pertimbangan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN