KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim bersedia membantu mana-mana rakyat Terengganu yang dikenakan kompaun melebihi RM2,000 atas kesalahan ziarah Hari Raya Aidilfitri.
Azman berkata, tawaran bayaran itu membabitkan jumlah yang melepasi kadar denda ditetapkan sebanyak RM2,000 bagi memastikan tiada perbezaan nilai kompaun antara pemimpin mahu pun rakyat.
“Insya-Allah saya tolong bayarkan jumlah yang lebih itu kerana kita mahukan kadar sama rata untuk setiap golongan dan jangan ada keistimewaan.
“Polis memaklumkan kompaun bagi kesalahan menerima tetamu dan melakukan kunjungan Aidilfitri ialah RM2,000 bagi tuan rumah serta tetamu,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi yakin tiada mana-mana individu yang dikenakan kompaun melebihi RM2,000 untuk kesalahan berkenaan.
Semalam, Azman bersama tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud dikompaun masing-masing RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung larangan aktiviti ziarah pada Aidilfitri.
Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari.- UTUSAN ONLINE










