MERSING: Kampung Bahagia, Kampung Mersing Kanan, Kampung Jemari Pengkalan Batu dan sebuah kawasan di Endau antara ‘hotspot’ yang dikenal pasti berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah di daerah ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib berkata, kawasan berkenaan antara yang menjadi tumpuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah untuk membanteras kegiatan itu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan memang betul penyalahgunaan dadah berlaku di Mersing dan sebab itu AADK sendiri melakukan pelbagai aktiviti untuk mengatasinya.
“Bahkan, saya lihat, kalau ahli masyarakat, jabatan-jabatan dan ibu bapa terutamanya tidak ambil peranan, ini akan menyukarkan usaha membanteras dadah di Mersing,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, hasil program AADK bersama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak beberapa minggu lalu juga membuahkan hasil.
Katanya, program seperti rondaan, penjelasan dan juga lawatan ke tempat-tempat ‘hotspot’ telah membawa kepada beberapa tangkapan.
Terdahulu akhbar melaporkan Mersing mencatatkan kes tertinggi penyalahgunaan dadah berdasarkan nisbah lebih 1,500 daripada setiap populasi 100,000 penduduk di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jumlah itu amat membimbangkan apabila menunjukkan julat perbezaan ketara berbanding daerah lain serta mencatatkan peningkatan melebihi nisbah kebangsaan iaitu 450 kes bagi setiap 100,000 penduduk. – UTUSAN ONLINE










