Dua rakan ingin beraya di rumah kenalan dikompaun - Utusan Malaysia

Dua rakan ingin beraya di rumah kenalan dikompaun

ADZLI ABU SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Hasrat dua rakan dipercayai ingin beraya di rumah kenalan mereka dengan merentas negeri dari Pulau Pinang ke Kuala Muda di sini tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Petani Selatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pasangan tersebut yang berpakaian raya memberi alasan ingin mengambil barang di rumah kenalan mereka ketika ditahan pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, lelaki yang ditahan itu berusia 22 tahun berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang manakala rakannya seorang perempuan berusia 20 tahun yang merupakan seorang pelajar kolej vokasional dan tinggal di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Dua rakan itu yang menaiki kereta Perodua Kancil memberi alasan hendak mengambil barang dan ketika pemeriksaan mereka gagal menunjukkan surat kebenaran polis untuk rentas negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Polis mengambil tindakan kompaun terhadap dua rakan tersebut sebanyak RM5,000 setiap seorang.

“Tindakan tersebut diambil di bawah Perkara 4(1) Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, seorang pengurus di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Permatang Gedong, Taman Sejati di sini dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana beroperasi melebihi waktu ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketika serbuan pada pukul 11 malam semalam, kita dapati restoran nasi kandar itu masih beroperasi dan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN.

“Pengurus restoran nasi kandar itu merupakan pemastautin tetap negara ini dikompaun mengikut Perkara 16 PPDPPB, Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) 2021,” katanya.

Menurut Adzli, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 23 kompaun kepada individu yang cuba merentas negeri dan daerah tanpa surat kebenaran polis sejak 1 Mei lalu hingga hari ini.

Tambahnya, bagi kesalahan di bawah LLDKTJ pula hanya satu kompaun dikeluarkan.

“Selain itu, sebanyak 41 kes melibatkan kenderaan yang cuba merentas negeri dan daerah diarah berpatah balik,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN