ALOR GAJAH: Lima sekeluarga dan seorang lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat di Hutan Simpan, Masjid Tanah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, pasangan suami isteri berusia 30-an serta tiga orang anak mereka dalam anggaran umur tiga hingga lima tahun yang menaiki kereta jenis Proton Wira mengalami cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah.
Turut cedera dalam insiden itu adalah seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.
Pegawai Bomba Kanan II, Zul Akhman Othman berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pada pukul 6.40 petang dan sepasukan enam anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat tiba enam minit kemudian dan mendapati terdapat dua buah kereta dihempap sebatang pokok besar. Tiga mangsa, iaitu seorang wanita serta dua anaknya terperangkap di dalam kenderaan Proton Wira manakala seorang lagi lelaki di dalam kereta Honda Accord.
“Kerja-kerja menyelamat dilakukan dan kesemua mangsa dikeluarkan pada pukul 7.16 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, keempat-empat mangsa bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Kami turut difahamkan oleh mangsa wanita bahawa dia bersama suami dan seorang lagi anaknya, namun mereka telah dikeluarkan dengan bantuan orang awam sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.
“Kedua-dua mereka juga dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.










