KOTA TINGGI: Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai ikon bagi Rakan Aktif Parlimen Pengerang (RAPP) yang diilhamkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina berkata, RAPP merupakan satu-satunya pusat senaman dan kecergasan khas di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan aktiviti fizikal bagi warganegara berusia 60 tahun dan ke atas.
“Terima Kasih Tun Dr. Mahathir Mohamad sudi menjadi ikon dan sekali gus memberikan kesedaran kepada semua rakyat tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Inisiatif RAPP ini bertujuan untuk mengoptimumkan peluang dan penglibatan warga emas dalam masyarakat yang sejajar dengan matlamat Dasar Warga Emas Negara (DWEN) iaitu untuk mendayaupayakan individu, keluarga dan masyarakat.
“Ia dengan menyediakan perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan berkesan serta membangunkan persekitaran yang membantu warga emas untuk hidup sejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azalina berkata, pihaknya dengan kerjasama Asia College of Exercise & Sports Medicine kini dalam usaha menjadikan program berkenaan di peringkat nasional dengan mewujudkan banyak lagi Active Aging Center.
Jelasnya, usaha itu akan membantu kerajaan dalam mendepani cabaran negara mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.
RAPP yang diwujudkan sejak awal tahun ini, kini berpusat di Taman Bayu Damai, di Pengerang.- UTUSAN ONLINE










