Dihantui rasa bersalah jadi punca isteri, anak dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

Dihantui rasa bersalah jadi punca isteri, anak dijangkiti Covid-19

ROSLAN Husain bersama dua anak lelakinya yang kini tinggal di wad Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, Kelantan kerana tiada penjaga selepas dia dan isteri dijangkiti Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengusaha warung makan di Kampung Pauh Dara, Semerak, Pasir Puteh kini dihantui rasa bersalah kerana menjadi punca isteri dan anaknya turut dijangkiti Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Roslan Husain, 55, berkata, walaupun dia menutup warung­nya sepanjang sebulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Kelantan tetapi dia masih tidak terhindar daripada dijangkiti virus itu.

“Saya hanya keluar sekali-sekala untuk membeli barang keperluan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Namun sudah menjadi ketentuan-Nya, saya masih terkena penyakit ini.

“Pada 16 Mei lalu, saya di­serang demam disusuli hilang deria bau. Tiada selesema, tetapi seluruh badan terasa lenguh dan sakit urat. Ujian saringan di Klinik Kesihatan Cherang Ruku akhirnya mengesahkan saya positif Covid-19.

“Virus ini menyerang saya sebelum menular kepada isteri dan anak kami secara senyap. Sehingga sekarang saya tidak tahu daripada siapa saya dijang­kiti Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bahana pandemik itu, Roslan diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Panji di sini manakala isterinya ditahan di wad Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh.

Anaknya pula ‘terpisah’ daripada mereka apabila dihantar ke PKRC Melor.

Keadaan ketiga-tiga mereka sudah bagaimanapun beransur pulih dan Roslan dijangka dibenarkan keluar dari PKRC pada Jumaat ini.

Katanya, dua lagi anak lelaki masing-masing berusia lapan dan 12 tahun disahkan negatif, namun terpaksa ‘tinggal’ di wad HTA bersama isterinya kerana tiada siapa mahu menjaga mereka.

“Tak ada yang sudi jaga dua anak ini walaupun negatif, apabila ibu, ayah dan kakaknya didapati positif Covid-19,’’ katanya yang memberitahu, hari dia dibawa menaiki ambulans ke PKRC menjadi momen pahit yang sukar untuk dilupakan.

Katanya, kehadiran ambulans bersama petugas yang ‘berbungkus’ peralatan perlin­dungan diri (PPE) di rumahnya dipandang jiran dengan penuh kegerunan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×