KUALA LUMPUR: Pelaksanaan darurat wajib dilaksanakan kerajaan bagi menjaga kesejahteraan rakyat ketika penularan Covid-19.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyifatkan kerajaan bertindak pantas dan proaktif merangkumi segala tindakan bagi memastikan penularan wabak berkenaan dihentikan.
Beliau dalam masa yang sama meminta semua pihak melupakan segala perbezaan politik, agama, bangsa dan segala kepentingan termasuk harta.
“Perisytiharan darurat yang dilaksanakan hari ini adalah satu tindakan proaktif dalam menangani keadaan yang semakin gawat. Apa yang penting ialah langkah pencegahan, rawatan dan kawalan yang tegas serta berani.
“Malah, kita wajib tolong-menolong bagi menyelamatkan semua nyawa dalam keadaan darurat yang dihadapi sekarang,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, mereka yang membuat provokasi dan digelar sebagai makhluk perosak terutama di media sosial wajar diburu.
“Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau.
“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” jelasnya.










