PETALING JAYA: DAP mesti berubah daripada identiti lamanya dan membuktikan parti itu menerima kepelbagaian kaum jika benar-benar bersedia melakukan perubahan sebelum berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Sekiranya tiada usaha ke arah itu, DAP sukar keluar daripada stigma lama sekalipun perubahan wujud melibatkan barisan kepimpinan parti.
Penganalisis politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung berkata, DAP seharusnya meletakkan pemimpin dalam kalangan pelbagai etnik khususnya dari Sabah dan Sarawak di peringkat tertinggi parti bagi mewujudkan kesamarataan.
Justeru, tidak timbul lagi soal DAP hanya didominasi kaum Cina sekali gus mengubah corak kepartian parti yang sejak puluhan tahun hanya diselubungi imej orang Cina.
“Memang susah sebenarnya untuk DAP mengubah imej sedia ada sebab ia memberi kelebihan pada DAP sendiri iaitu memperjuangkan dan mewakili suara-suara masyarakat Cina. Sebab itulah ada pemimpinnya mahu kekal sebagai dominasi kaum Cina.
“Cuma, apa yang boleh dilakukan adalah jangan anak tirikan orang lain untuk menjadi pemimpin. Perwakilan dalam kepimpinan parti seharusnya diisi dengan individu yang pelbagai latar belakang.
“Selain itu, DAP sendiri harus menangkis persepsi ramai pihak bahawa DAP ini didominasi oleh pemimpin-pemimpin Cina sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bakal beralih kepimpinan bulan depan apabila Lim Guan Eng akan menamatkan penggal terakhirnya sebagai Setiausaha Agung selepas 17 tahun.
DAP dilihat mahu membuktikan parti itu sedia berubah pada PRU-15 bukan sahaja melibatkan barisan kepimpinan tetapi membabitkan imej parti yang sentiasa dilihat sebagai parti memperjuangkan kaum Cina.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata DAP tidak perlu mencairkan kecinaannya hanya untuk meraih sokongan Melayu sekali gus mendapat kecaman akibat sifat Liu sebagai cauvinis Cina.
Bagaimana, Liu menjelaskan kenyataannya dalam bahasa Mandarin disalah tafsir dan berkata, DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia, perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri sebagai parti bukan Cina.
Sementara itu, Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, pemimpin generasi baharu DAP sudah mencuba untuk ‘melembutkan’ pendirian parti terhadap desakan golongan bukan Melayu dengan harapan, orang Melayu akan mengubah pandangan negatif mereka mengenai DAP malah menyokong DAP.
“Dasar ini sedikit berhasil apabila terdapat calon-calon Melayu DAP yang menang dalam pilihan raya. Tetapi, ‘pelembutan’ pendirian ini sudah pasti hadir dengan risiko pemimpin bukan Melayu rasa kurang senang seperti mana yang dilihat semasa pemilihan parti baru-baru ini.
“Tetapi, saya fikir pengundi bukan Melayu akan terus menyokong DAP sebagai pilihan utama kerana parti lain dirasakan lebih negatif untuk mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










