fbpx

25 Jun 2021, 2:56 pm

  TERKINI

Dakwaan berlaku lambakan timun tidak tepat

RAZMAN Zakaria (dua kiri) melawat pekebun yang menghadapi masalah untuk menjual timun di Changkat Jering hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Dakwaan berlaku lambakan timun yang tidak terjual di Kampung Chengal Jantan,  Batu 9  Changkat Jering di sini yang tular dalam media sosial tidak tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, beliau telah bertemu dengan pekebun yang terlibat hari ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Menurutnya, pekebun berkenaan tidak dapat menjual hasil tanamannya kerana pasar awam tutup semasa musim perayaan dan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan negeri dan Jabatan Pertanian serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)  membantu memasarkan hasil tanaman pekebun ini secepat mungkin bagi mengelakkan dia mengalami kerugian,” katanya kepada pemberita selepas melawat pekebun yang terlibat di Changkat Jering di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK)  Selama, Mohd. Aini Ahmad berkata, pihaknya membeli hasil tanaman iaitu timun pekebun berkenaan bagi mengelak kerugian.

Katanya, ia antara cara untuk membantu pekebun kecil berkenaan agar timun yang telah mencapai usia matang dapat dipasarkan.

“Kami akan cuba memasarkan timun ini di pasar Selama, Kulim dan Balik Pulau, Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, pekebun berkenaan, Mohamad Zabri Dul Kamar, 45, mengusahakan tanaman berhampiran rumahnya dengan menanam 700 pokok timun dan 700 pokok cili.

Katanya, sejak mula berkebun sayur awal tahun ini, ini kali pertama dia menghadapi masalah untuk memasarkan hasil tanamannya.

“Jika mengikut harga pasaran, saya mengalami kerugian hampir RM2,000 kerana tidak dapat memasarkan hasil timun ini pada tepat pada tarikh matang.

“Saya bersyukur kerajaan negeri, Jabatan Pertanian dan FAMA datang membantu saya untuk memasarkannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE