Covid-19 : Tiga kematian di Besut dalam tempoh kurang 24 jam - Utusan Malaysia

Covid-19 : Tiga kematian di Besut dalam tempoh kurang 24 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga kematian direkodkan di Besut akibat Covid-19 dalam tempoh kurang 24 jam.

Jabatan Kesihatan negeri dalam satu kenyataan di laman Facebook berkata, kes pertama membabitkan wanita berumur 89 tahun yang pulang dari pusat penempatan warga tua di daerah berkenaan pada 11 Mei lalu dan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada 16 Mei kerana dikesan menjadi kontak rapat.

Katanya, pesakit yang mengalami sesak nafas teruk dan tidak sedarkan diri itu bagaimanapun meninggal dunia kelmarin manakala kematian kedua pula membabitkan lelaki berusia 59 tahun dengan sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis dari Lubuk Kawah.

“Kes hadir ke Hospital Besut pada 2 Mei selepas mengalami gejala selama empat hari dan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana fungsi pernafasannya yang merosot serius, namun menghembuskan nafas terakhir semalam setelah menerima rawatan intensif berterusan selama 18 hari.

“Kematian ketiga pula membabitkan lelaki berumur 78 tahun tanpa sejarah penyakit kronik dari Kampung Raja yang disahkan positif Covid-19 menerusi saringan bersasar dalam komuniti di Alor Lintang pada 13 Mei dan kemudian dimasukkan ke Hospital Setiu untuk rawatan sebelum dirujuk ke HSNZ lima hari kemudian kerana sesak nafas serta kemerosotan fungsi pernafasan serius,” kata kenyataan itu.

Menurut Jabatan Kesihatan negeri, pesakit berkenaan kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ dan meninggal dunia semalam.

Katanya, tiga kematian terbaharu berkenaan menjadikan bilangan kes maut akibat Covid-19 di negeri ini seramai 23 orang dengan majoritinya dari Besut.

Sebanyak 15 kampung di mukim Pelagat, Besut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini iaitu Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Langkah itu susulan sembilan daripada 17 kluster aktif di Terengganu dikesan membabitkan daerah berkenaan yang sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.

Dalam perkembangan sama, kes baharu yang dikesan hari ini terus melonjak kepada 233 menjadikan jumlah keseluruhan 1,350 kes di seluruh negeri.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN