Covid-19: Perlis belum capai tahap kritikal - Utusan Malaysia

Covid-19: Perlis belum capai tahap kritikal

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kebelakangan ini, timbul desas-desus Perlis menerima pesakit Covid-19 dari Kedah dan Pulau Pinang selepas hospital di dua negeri tersebut dikatakan sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mendapat pengesahan berhubung perkara tersebut, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Sirajuddin Hashim menafikannya dan memaklumkan setakat ini tidak ada pesakit dari luar dirujuk di sini.

“Pada masa ini, memang tidak ada pesakit dari dua negeri tersebut dibawa ke Perlis. Tidak ada, mereka juga ada perancangan dalam menguruskan pesakit. Di Perlis keadaan Covid-19 masih terkawal,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kapasiti di pusat kuarantin dan rawatan bagi pesakit positif Covid-19 di Perlis masih belum mencapai tahap kritikal berbeza dengan negeri-negeri lain ketika ini.

Katanya, bagaimanapun, jika kes menunjukkan peningkatan tidak mustahil Perlis bakal hadapi masalah sama dengan negeri-negeri lain terutama daripada aspek menampung kapasiti pesakit di pusat-pusat rawatan Covid-19.

“Kita belum capai tahap kritikal tapi kalau kes semakin meningkat kemungkinan kita akan hadapi masalah sama dengan negeri-negeri lain. Kita harap rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

“Kalau kita tengok trend semasa daripada gelombang ketiga Covid-19 ini, angka kes di Perlis masih rendah dengan selang beberapa hari baru mencatat dua atau tiga kes.

“Pematuhan SOP dalam kalangan rakyat Perlis mencapai 97 peratus dan kalau boleh tahap pematuhan itu kita hendak capai 100 peratus pematuhan. Umumnya, daripada segi pematuhan SOP kita antara yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar sempena Pesta Angin Timur Perlis 2021 di sini, semalam.

Mengulas mengenai kewujudan kluster baharu Covid-19 di Perlis, Azlan berkata, beliau percaya pihak kesihatan negeri ini dapat mengambil tindakan sewajarnya dalam mengawal penularan menerusi kluster itu.

“Kita tengok penularan itu membabitkan kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kes pandemik Covid-19 di Perlis terus menunjukkan peningkatan termasuk dengan wujudnya satu kluster baharu dikenali sebagai kluster Jalan Kampung Bakau yang mula dikesan sejak 14 Mei lalu.

Setakat ini, kluster yang melibatkan pekerja-pekerja sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Jalan Kampung Bakau di sini itu telah melibatkan tujuh kes positif.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN