Covid-19: Noradilah masih terkesan pemergian suami - Utusan Malaysia

Covid-19: Noradilah masih terkesan pemergian suami

NORADILAH Rani (tiga dari kiri) bersama anak-anaknya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru di rumahnya di Pangsapuri Desa Hajah Hasnah di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Tiada apa yang boleh saya kata melainkan semua orang kena jaga diri masing-masing dan jangan ingat Covid-19 ini perkara main-main, kerana saya sendiri merasainya dengan pemergian suami akibat wabak itu.”

Demikian jelas Noradilah Rani, 34, balu kepada mangsa pertama yang maut akibat Covid-19 di negara ini, Allahyarham Muhammad Yusuf Haron pada 17 Mac tahun lalu.

Menurut ibu kepada enam orang anak berusia antara 12 hingga setahun setengah itu, orang ramai juga sebaiknya tidak perlu melakukan aktiviti rentas negeri atau daerah untuk meraikan sambutan Aidilfitri kerana bimbang ia membawa kepada penularan kes baharu.

“Saya harap, kita semua dapat patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, saya hilang suami akibat Covid-19 dan kejadian itu masih terkesan buat kami sekeluarga.

“Disebabkan itu, seperti tahun lalu, tahun ini juga tiada persediaan Aidilfitri kerana kehilangan arwah masih dirasai. Tahun ini, tahun kedua arwah tiada bersama kami, pasti saya dan anak-anak sedih menjelang 1 Syawal ini.

“Paling sedih, saya perlu mengemudi keluarga ini demi anak-anak. Saya sebenarnya belum bersedia, tetapi, keadaan ‘memaksa’ saya jadi kuat,” luahnya ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru di rumahnya di Pangsapuri Desa Hajah Hasnah, di sini baru-baru ini.

Allahyarham Muhammad Yusuf yang menyertai perhimpunan Tabligh Masjid Seri Petaling di ibu negara tahun lalu menjadi mangsa pertama dalam kumpulan itu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Sebelum itu, Muhammad Yusuf dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac tahun lalu selepas disahkan positif Covid-19 sebelum meninggal dunia lima hari kemudian.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Sulaiman, 12, berkata, dia bercita-cita untuk menjadi seorang tahfiz untuk membantu ibu dan bapanya memasuki syurga.

Kata kanak-kanak itu, walaupun dia masih terasa dengan kehilangan bapanya itu namun dia juga kena kuat seperti ibunya.

“Ini adalah kali kedua Aidilftitri disambut tanpa ayah,” katanya yang enggan berbual lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru, Faridah Mustafa berkata, kunjungan itu bertujuan menyantuni keluarga Noradilah menjelang Aidilfitri ini.

“Kami juga menyeru mana-mana pihak yang berkemampuan untuk menyumbang kepada keluarga ini kerana anak-anak mereka masih kecil,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menderma kepada balu Allahyarham bolehlah menyumbang di akaun Bank Islam bernombor 01041027184812.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN