Covid-19: Kapasiti katil Hospital Melaka cecah 65.3 peratus - Utusan Malaysia

Covid-19: Kapasiti katil Hospital Melaka cecah 65.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kapasiti katil pusat rawatan Covid-19 di Hospital Melaka kini mencecah 65.3 peratus dengan 34 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah pesakit Covid-19 terus merekodkan peningkatan secara mendadak  dengan angka terkumpul sebanyak 1009 kes sejak 1 Mei lalu. 

“Setakat semalam (Jumaat) 177 pesakit sedang dirawat di Hospital Melaka, termasuk 34 daripadanya ditempatkan di ICU dengan 10 orang memerlukan bantuan alat pernafasan. 

“Kini kapasiti pesakit di hospital berkenaan sudah mencapai 65.3 peratus dan kita khuatir jumlah ini akan terus meningkat dengan kemunculan kluster-kluster baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya, susulan itu kerajaan negeri meminta agar kerajaan Persekutuan membenarkan penambahan pembukaan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19  (PKRC) Berisiko Rendah di Melaka. 

“Selain Hospital Melaka, kita telah menempatkan pesakit di PKRC Kolej Kejururawatan Hospital Melaka iaitu seramai 31 orang, dua di PKRC Penjara Sungai Udang dan 271 di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor (Maeps).

“Bagaimanapun, seramai 117 pesakit Covid-19 daripada 801 kes yang sedang dirawat kini terpaksa menunggu penempatan untuk rawatan ekoran kapasiti di pusat-pusat penempatan telah penuh,” jelasnya.

Tambahnya, sebahagian daripada pesakit juga hanya disarankan melakukan kuarantin kendiri di rumah. 

“Kita juga bimbang sekiranya pembukaan PKRC baru ini tidak disegerakan, kita akan menghadapi masalah yang lagi besar untuk menempatkan pesakit Covid-19,” katanya. 

Sehingga Jumaat, terdapat 21 kluster yang masih aktif di Melaka dengan lima daripadanya masih merekodkan pertambahan kes positif Covid-19.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN