Bersyukur diberi peluang solat sunat Aidilfitri berjemaah - Utusan Malaysia

Bersyukur diberi peluang solat sunat Aidilfitri berjemaah

TUN AHMAD FUZI Abdul Razak menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebahagian besar umat Islam di negeri ini bersyukur kerana berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid dan surau di negeri ini meskipun terpaksa menyambut hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Malah, mereka turut menyifatkan umat Islam di Pulau Pinang lebih bertuah kerana dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri itu dalam tiga sesi di masjid dan surau sekali gus membolehkan lebih ramai umat Islam dapat melaksanakan solat sunat yang sangat digalakkan tersebut.

Bagi seorang kakitangan swasta, Abdul Karim Razak, 47, dia pada mulanya sudah menerima hakikat tidak dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi ini sama seperti tahun lalu berikutan pelaksanaan PKP yang mengehadkan jumlah jemaah hanya 50 orang di masjid dan 20 orang di surau.

Namun jelasnya, sebaik sahaja dimaklumkan solat sunat Aidilfitri itu di negeri ini boleh dilaksanakan dalam tiga sesi semalam, dia segera mendaftar dan berjaya menempah slot di sebuah masjid Glugor dekat sini.

“Cuma saya berasa sedikit sedih kerana tidak dapat membawa isteri dan tiga anak-anak saya sama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri seperti kebiasaan sebelum ini.

“Apa pun saya tetap bersyukur dan berharap PKP terbaharu ini dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan kita dapat meraikan Aidilfitri seperti sedia kala pada tahun-tahun akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, hampir keseluruhan masjid dan surau di negeri ini melaksanakan solat sunat Aidilfitri secara tiga sesi pagi ini selepas kebenaran terbaharu Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) semalam.

Tiga sesi itu bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 9.15 pagi diikuti sesi kedua 9.45 pagi hingga 10.30 pagi dan seterusnya sesi ketiga iaitu 11 pagi hingga 11.45 pagi dengan jarak 30 minit setiap sesi bagi tujuan sanitasi.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pula menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Pulau Pinang kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor.

Yang turut hadir,  Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar dan Mufti negeri, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.

Solat sunat itu dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Mohd. Nordin Samah yang turut membacakan khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Keriangan Di Sebalik Ujian’  di hadapan kira-kira 50 jemaah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN