SEREMBAN: Seramai 12 lelaki termasuk seorang warga asing dikompaun selepas mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul dan menunaikan solat berjemaah di dalam ruang sebuah premis di Nilai di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, tindakan diambil selepas serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis bersama penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di sebuah premis kira-kira pukul 1.30 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut tiada kebenaran untuk menjalankan aktiviti solat berjemaah.
“Didapati juga mereka melakukan kesalahan berkumpul di dalam premis, tidak memakai pelitup muka serta gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ di premis atau menulis secara manual,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd. Fazley lagi, kesemua individu terbabit dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Jumlah kompaun yang boleh dikenakan sebanyak RM1,500 hingga RM4,000 setiap seorang.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai terus kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan serta SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.- UTUSAN ONLINE










