KUALA TERENGGANU: Orang ramai diminta tidak terpengaruh atau panik dengan khabar angin pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Terengganu.
Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, dakwaan kononnya daerah ini bakal dikenakan sekatan PKPD sebagaimana di Besut susulan peningkatan kes Covid-19 adalah tidak benar.
“Belum ada perintah PKPD diputuskan di Kuala Terengganu.
“Tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi di sekitar pusat bandar adalah bertujuan untuk mengurangkan kemasukan kenderaan yang dilihat masih lagi banyak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, setakat semalam, daerah Kuala Terengganu mencatatkan 309 kes positif Covid-19 dengan tiga mukim berada dalam zon merah iaitu Bukit Besar, Pengadang Buluh dan Manir.
Terdahulu, Roslee berkata, sebanyak 32 SJR diadakan di sekitar negeri ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan sebarang pergerakan individu dalam daerah sama masih boleh dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walaupun selepas pukul 8 malam.
“Tiada sekatan pergerakan pada waktu tersebut namun kita menggalakkan masyarakat berada di rumah sekiranya tiada sebarang tugasan atau urusan mustahak,” katanya. -UTUSAN ONLINE