Kohort pertama tanpa UPSR, PT3 bukti pelajar cemerlang

Kohort pertama tanpa UPSR, PT3 terbukti cemerlang

FADHLINA Sidek bertemu Ewing Sarcoma Fernandez Minggat Anak Steven Jaya, penghidap kanser jenis yang memperoleh 3A 4B dalam SPM ketika tinjauan di SMK Tinggi Kajang semalam. Turut kelihatan ibu dan bapa Fernandez, Steven Jaya Anak Jampi dan Roselind Jelanan Anak Pas. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: KAJANG: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang meru­pakan kohort pertama tidak menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berjaya mencatat prestasi memberangsangkan dengan Gred Pu­rata Kebangsaan (GPK) 4.42 mata, terbaik dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pencapaian itu lebih baik berbanding SPM 2024 yang mencatat GPK 4.49 mata iaitu menunjukkan pening­katan sebanyak 0.07 mata.

“Keputusan ini membuktikan bahawa generasi pelajar hari ini mempunyai daya tahan tinggi, termasuk menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

“Tetapi kita ambil sikap lebih positif, melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam konteks pendidikan negara, khususnya keputusan ini membuktikan mereka adalah satu generasi atau kohort anak-anak yang daya tahannya cukup tinggi

“Calon SPM 2025 ini unik kerana tidak melalui sebarang peperiksaan sebelum ini. Namun, mereka membuktikan kemampuan diri untuk mencapai keputusan cemerlang,” katanya selepas meninjau Majlis Pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, semalam.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, dasar mewajibkan pendidikan menengah merupakan antara langkah diambil mengatasi isu ketidakhadiran calon SPM.

Program-program sokongan juga akan dinilai semula bagi memastikan pelajar meneruskan pengajian dan kehadiran ke sekolah.

“Jumlah calon tidak hadir, menurun, tetapi langkah intervensi diteruskan di semua peringkat. Kewajipan sekolah menengah dan program sokongan akan memberikan kesan keseluruhan yang positif.

“Kehadiran sangat penting dan langkah intervensi dilaksanakan secara berterusan.

“Walaupun terdapat penurunan, masih ada perkara yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat termasuk di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” katanya.

Fadhlina berkata, pendekatan akauntabiliti dilaksanakan di peringkat pengetua sebagai intervensi khusus bagi memastikan kehadiran pelajar dan bantuan sosial serta ekonomi kepada golongan memerlukan.

Antara intervensi dilaksanakan mengatasi isu ketidakhadiran adalah memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian dan mengaktifkan Pasukan Petugas Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat.

“Dialog Prestasi Nasional, melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna dan bekerjasama dengan pelbagai agensi awam dan swasta bagi menangani isu ketidakhadiran calon ke sekolah turut diadakan.

“Intervensi dan inisiatif sedia ada akan diteruskan dan ditambah baik untuk memastikan kehadiran calon semasa peperiksaan SPM semakin mening­kat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN