KEMAMAN: Mahu membeli makanan ikan peliharaan di samping juadah berbuka puasa merupakan antara alasan diberikan 11 individu dari Chendor, Pahang yang menggunakan laluan tikus untuk memasuki Terengganu.
Kesemua yang ditahan itu berusia antara 18 hingga 46 tahun termasuk seorang pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dalam operasi lebih sejam di sempadan Kemaman-Chendor, petang semalam.
Malah ada di antaranya yang yakin tindakan merentas sempadan memasuki Terengganu itu tidak menjadi kesalahan kerana masih dalam radius 10 kilometer yang dibenarkan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kebanyakan yang ditahan merupakan penduduk yang tinggal di sempadan Pahang-Terengganu kerana tidak memiliki sebarang surat kebenaran di samping turut memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Tegasnya, polis giat memantau tujuh laluan tikus di sempadan bagi mengelak cubaan orang ramai merentas negeri tanpa kebenaran.
“Ada yang sanggup melalui lorong tikus yang sempit dengan jalan berbatu tanpa turap bagi mengelak ditahan polis di pintu masuk sempadan Kemaman di sekatan jalan raya (SJR) Paya Berenjut.
“Kita dapati pengguna laluan itu adalah penduduk di sempadan yang sering keluar masuk ke Kemaman,” katanya kepada pemberita di sini.
Hanyan berkata, dalam operasi itu dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang ditahan positif methamphetamine dan kesemua mereka dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk diambil keterangan sebelum dikompaun.










