Bapa paksa anak minum racun - Utusan Malaysia

Bapa paksa anak minum racun

YUSOFF ZAKI MAT YAACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Gara-gara gagal menahan perasaan marah, seorang bapa sanggup mencekik dan memaksa anak berusia lima tahun minum racun rumput dalam satu kejadian di Kampung Bundu, Kuala Penyu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 12 tengah hari pada Ahad itu, suspek yang berusia 43 tahun dipercayai bertengkar dengan isterinya yang ingin pulang ke kampung. Namun, kemarahan itu dilepaskan kepada anak yang masih kecil.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu dan kini berada dalam keadaan stabil serta tidak mempunyai sebarang alahan kerana kandungan racun yang sedikit.

Berdasarkan siasatan, sebelum kejadian suspek dan isterinya bertengkar disebabkan tindakan isterinya yang ingin pulang ke kampung di Keningau bersama anak-anak namun, suspek membantah.

“Suspek yang berang kemudian bertindak di luar kawalan dengan memberi anak perempuannya kopi yang dicampur dengan racun rumput.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yusoff Zaki berkata, perkara itu hanya diketahui ibu mangsa selepas kejadian berkenaan diceritakan oleh anak sulung mereka yang berumur lapan tahun.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN