Baju kurung untuk raya Nurul Hafiza hanya RM1 - Utusan Malaysia

Baju kurung untuk raya Nurul Hafiza hanya RM1

NURUL HAFIZA ABDUL FATAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketika rakan sebayanya sibuk membeli baju baharu untuk dipakai pada Aidilfitri ini, Nurul Hafiza Abdul Fattah, 19, pula memilih baju kurung bundle atau terpakai bernilai RM1 untuk dipakai pada pagi 1 Syawal nanti.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak segan mahupun malu menyarung pakaian terpakai itu kerana ia bukan sahaja masih dalam keadaan baik malah kelihatan seperti baharu.

“Jika beli baju raya baharu, harganya agak mahal dan saya tidak mahu bebankan ayah dan ibu. Walaupun baju raya ini bernilai RM1, ia sebenarnya amat bernilai buat saya,” katanya ketika ditemui di ‘Butik Kasih’ di sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh di Lahat di sini, semalam.

Nurul Hafiza memberitahu ibunya seorang suri rumah sepenuh masa manakala bapanya pula hanya bekerja sebagai tukang kebun di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB).

Butik Kasih adalah inisiatif terbaharu SMK Kampong Pasir Puteh selepas program Gerobok Rezeki Februari lalu yang membantu pelajar kurang berkemampuan menerusi pemberian barangan makanan keperluan asas.

Pelajar SMK Kampong Pasir Puteh di Ipoh sedang memilih pakaian terpakai di Butik Kasih sekolah mereka.

Program cetusan guru Bahasa Melayu, Abdul Aziz Zakaria itu membantu pelajar memerlukan memiliki pakaian dan kasut terpakai yang berkualiti dengan harga terendah.

Bagi pelajar yang tidak mampu, mereka dibenarkan mengambilnya secara percuma.

Menurut pelajar tingkatan enam itu, inisiatif guru sekolahnya sangat dihargai kerana memberi peluang kepada pelajar sepertinya memiliki baju kurung untuk dipakai pada Aidilfitri ini.

“Saya berterima kasih kepada guru dan sekolah atas inisiatif murni ini. Semua pakaian dan kasut di sini masih elok dan cantik, tidak nampak pun macam baju lama,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pembukaan kedai pakaian terpakai itu mendapat sokongan ramai turut menerima sumbangan pakaian dan kasut daripada pelbagai pihak.

“Sebagai guru, kami sentiasa berusaha mencari jalan membantu pelajar-pelajar di sini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.