PUTRAJAYA: Masa depan Asia berdepan dengan tiga cabaran utama dalam mendepani isu pandemik Covid-19 yang mencetuskan krisis pelbagai dimensi untuk ditangani secara komprehensif.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiga cabaran itu ialah akses kesihatan yang saksama, ketidakadilan sosioekonomi dan kelompongan kepimpinan global.
Menurut beliau, kesaksamaan akses vaksin kepada semua negara perlu dititikberatkan memandangkan ada antara negara tidak mampu memperoleh vaksin, contohnya 27 negara terkaya mempunyai 35.5 peratus vaksin, walaupun hanya merangkumi 10.5 peratus populasi dunia.
“Sementara itu, terdapat 1.23 bilion dos yang diberikan di 174 negara setakat ini, dengan 252 juta dos atau 20 peratus bekalan global diambil oleh Amerika Syarikat (AS) sahaja.
“Dari segi pengeluaran, China dan India telah mengeksport sekitar 200 juta dan 66 juta dos vaksin, masing-masing sekitar 48 peratus dan 34 peratus daripada jumlah pengeluaran mereka.
Sebagai perbandingan, AS dan United Kingdom (UK) hanya mengeksport tiga juta dan sejuta dos vaksin masing-masing, atau hanya 1.1 peratus dan empat peratus daripada jumlah pengeluaran masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia Nikkei Ke-26 secara maya, hari ini
Muhyiddin berkata, dalam hal itu, Malaysia menyambut baik hasrat pentadbiran Joe Biden pada 5 Mei lalu untuk mengenepikan sementara perlindungan harta intelek (IP) untuk vaksin Covid-19.
Kata beliau, penggantungan IP sementara mesti memberi jalan kepada perubahan total sistem paten farmaseutikal dan Asia mesti menerajui langkah membuka perlindungan paten untuk menghasilkan versi generik ubat penyelamat nyawa yang lebih murah untuk penyakit kritikal, dari Covid-19 hingga HIV / Aids.
Beliau menjelaskan, berdasarkan Artikel 25 (1) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, sudah tiba masanya inovasi berkaitan ubat, vaksin, alat perubatan dan selainnya, dibawa keluar daripada bidang hak-hak paten individu sekali gus mewujudkan hak harta global.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, cabaran kedua ialah peningkatan kepada 99 peratus populasi global berkaitan ketidakadilan sosioekonomi apabila kapitalisme telah mencipta begitu banyak kekayaan dan kemajuan di satu pihak, namun begitu banyak ketidaksamaan dan ketidakstabilan di pihak lain.
Justeru, kata beliau, tempoh pasca wabak mesti diganti dengan langkah-langkah yang lebih humanistik terhadap kesihatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, dasar awam mesti lebih memfokuskan kepada keperluan mereka yang paling rentan untuk menjana pendapatan, dan bukannya memberi tumpuan berlebihan memudahkan pelabur besar meningkatkan kekayaan mereka, dengan harapan dapat mempengaruhi ekonomi.
“Asia perlu memainkan peranan mengatasi kegagalan pasaran, khususnya membabitkan ketidakadilan sistem yang menyebabkan rakyat dan negara kekal miskin dan terpinggir.
“Institusi Asia yang baharu perlu diwujudkan untuk menyamaratakan ‘padang permainan’ dan membina masa depan membolehkan individu pelbagai latar belakang boleh cemerlang dan dinilai bukan berdasarkan situasi mereka dilahirkan, namun karakter mereka, seperti diungkapkan Dr Martin Luther King Jr,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, cabaran kelompongan kepemimpinan global melibatkan isu dasar nasionalisme dan pemencilan yang masih menguasai kedudukan penting dalam kuasa global.
Ini katanya, menyebabkan ketiadaan sistem pentadbiran global yang berkesan untuk bertindak balas terhadap ancaman wabak dengan pantas.
Beliau menegaskan, dunia masih belum melihat adanya mesyuarat tergempar di peringkat Majlis Keselamatan PBB atau pemimpin global bekerjasama menguruskan rantaian bekalan global untuk menguruskan pandemik ketika ini.
“Berbanding langkah pemimpin G20 bekerjasama pasca krisis kewangan 2008 untuk menyelamatkan ekonomi dunia, kita kini berdepan kelompongan kepemimpinan global.
“Wujud defisit kepercayaan antara kuasa besar dunia berhubung konflik perdagangan, teknologi dan isu geopolitik lain,” katanya.- UTUSAN ONLINE










