PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memberi bayangan keras terhadap mentaliti pelumba pelapis negara apabila menegaskan mereka tidak boleh terus berada dalam zon selesa jika mahu mencapai tahap terbaik dunia.
Atlet berusia 38 tahun itu berkata barisan pelumba muda perlu berani memikul tekanan dan bukannya mengelak daripada harapan tinggi yang diletakkan ke atas mereka.
Katanya, tekanan dan kritikan keras yang diterima sejak awal kariernya menjadi faktor utama membentuk ketahanan mental dan fizikal sehingga mampu muncul sebagai antara pelumba terbaik dunia.
“Sebagai pelumba muda, mereka kena berani pikul tekanan dan jangan cuba lari daripada harapan tinggi, sebab daripada situlah datangnya peningkatan prestasi dan kekuatan sebenar dalam diri seseorang atlet.
“Saya sendiri melalui fasa kritikan dan tekanan yang sangat keras sejak awal karier, tetapi itulah yang membentuk saya jadi lebih kuat dari segi mental dan fizikal hingga mampu berada pada tahap sekarang,” kata Azizulhasni.
Azizulhasni turut mengingatkan bahawa semua pelumba dalam program kebangsaan menggunakan dana awam, justeru mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk menterjemahkannya kepada prestasi.
Malah, beliau secara terbuka mengakui antara sebab meninggalkan skuad kebangsaan sebelum ini adalah bagi memberi ruang serta fokus kepada pembangunan pelumba muda.
“Kerana apa pun keadaannya, pelumba dalam program ini menggunakan dana daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang merupakan wang pembayar cukai, dan itulah sebabnya saya keluar daripada skuad kebangsaan bagi memastikan peruntukan itu dapat difokuskan kepada pelumba-pelumba muda yang ada sekarang.
“Jadi mereka sebenarnya sudah memiliki segala keperluan dan kini sudah tiba masanya untuk mereka membuktikan semula melalui prestasi di atas trek,” katanya. – UTUSAN










