PETALING JAYA: Setiap kali DAP cuba menghulurkan bantuan kepada golongan Melayu dan Islam, setiap kali itulah DAP dikecam.
Sebaliknya, jika DAP hanya menekankan soal kebajikan orang Cina, parti itu terus dilabel sebagai rasis atau cauvinis Cina sedangkan, DAP juga berpegang dan mendukung Perlembagaan Persekutuan dan mahukan perpaduan sesama rakyat negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, yang penting bagi DAP ialah memastikan keadilan dalam aspek sosioekonomi rakyat dapat ditegakkan, melihat kepada masih ramai rakyat belum berpeluang mengecapi kesenangan.
Ini lebih baik daripada semua pihak melihat DAP hanya kepada kaum dan agama semata-mata. Jangan pernah menyebut soal kaum dan agama apabila masalah utama adalah hak-hak asasi rakyat, masalah rasuah dan amal makruf nahi munkar tidak dipatuhi.
“Mengapa apabila ada wakil rakyat DAP dari pelbagai kaum masih dikecam sedangkan yang rasis (dari kaum lain) tidak dipersoalkan? Ada yang mainkan lagu sentimen perkauman dan agama tetapi disanjung tinggi? Mengapa perlu ada dua darjat?
“Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pun disaman hanya kerana membantu Melayu miskin sehingga berdepan pelbagai tohmahan. Selama ini mereka tidak bantu dan kritik. Tetapi, apabila DAP bantu, ramai yang kritik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, sumbangan Steven kepada penghantar makanan, Anas Hazmi Ahmad menimbulkan kontroversi sehingga ada pihak yang mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada ‘mubaligh Kristian’.
Guan Eng berkata, DAP mahu membuktikan parti itu sedia berubah pada PRU-15 bukan sahaja melibatkan barisan kepemimpinan tetapi membabitkan imej parti yang sebelum ini dilihat sebagai parti memperjuangkan kaum Cina.
Justeru, kata beliau, DAP akan terus membantu rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang seseorang selain memastikan penyampaian khidmat rakyat berterusan.
“Walaupun sukar, namun DAP akan tetap berusaha. Sebab itulah DAP terbuka kepada semua rakyat Malaysia, ada wakil dari semua kaum dan berharap lebih ramai yang menyertai DAP,” katanya. -UTUSAN










