Anak terlantar setahun - Utusan Malaysia

Anak terlantar setahun

OZITA Hamzah melihat Muhammad Yusshah Danish yang hanya terlantar akibat kemalangan jalan raya di Felda Kota Gelanggi Dua, di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ibu bapa mana tidak sedih melihat keadaan anaknya yang hanya mampu terlantar di atas katil ibarat
mayat hidup setelah hampir setahun terlibat kemalangan jalan raya pada Jun tahun lalu.

Situasi itu dihadapi pasangan, Yussery Ismail, 50, dan Rozita Hamzah, 47, di Felda Kota Gelanggi Dua di sini apabila anak mereka, Muhammad Yusshah Danish, 18, langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih.

Kemalangan bertembung dengan motosikal lain di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara merupakan
detik hitam kehidupan remaja itu apabila menderita akibat kecederaan teruk di kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari.

Anak ketiga daripada lima adik beradik yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota
Gelanggi Dua itu sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu,
tetapi, tidak dapat bersekolah akibat kemalangan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rozita berkata, dia dan suaminya runsing tentang nasib Muhammad Yusshah Danish pada masa akan datang walaupun banyak kali menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Selepas kemalangan, anak saya dikejarkan ke Hoshas, Temerloh dan dirawat selama 22 hari akibat kecederaan teruk
bahagian dalam kepala dan mulai saat itu, keadaannya seperti tidak sedarkan diri dan bergerak, hanya matanya sahaja celik.

“Peringkat awal, doktor cuma merawat bahu, leher, tangan dan jari yang patah sebelum dibenarkan pulang. Kemudian, meneruskan rawatan susulan untuk saringan dan pemeriksaan bahagian dalam kepala,” katanya di Felda Kota
Gelanggi Dua di sini semalam.

Menurut Rozita, disebabkan hanya mampu terlantar, makanan Muhammad Yusshah Danish cuma susu yang dimasukkan melalui saluran tiub di hidung dan perut serta memakai lampin pakai buang.

“Boleh dikatakan sebulan sekali berulang alik ke Hoshas dan HTAA tanpa berasa serik untuk merawat Muhammad
Yusshah Danish, sehingga kini doktor memberitahu cuma lapan peratus sahaja pemulihan bahagian dalam kepalanya,” kataya.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah untuk membantu Muhammad Yusshah Danish boleh
menghubungi Yussery di talian 0145321433 atau Rozita di talian 0189103179 atau menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220304322791 (Muhammad Yusshah Danish). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya