PETALING JAYA: Che’gu Bard atau Badrul Hisham Shaharin direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung hantaran isu pembinaan kasino di Forest City, Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya membuka kertas siasatan semalam berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan isu pembinaan kasino di Forest City selain melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut beliau, reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dimohon dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur selama dua hari sehingga esok.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Che’gu Bard.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-undang (D5) Bukit Aman.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.
“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya. – UTUSAN








