SEGAMAT:;Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diminta meningkatkan kualiti infrastruktur pendidikan, sekali gus mampu menyumbang terhadap pembangunan tanah rancangan berkenaan di seluruh negara.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan infrastruktur di Felda kebanyakannya terabai terutamanya sekolah-sekolah.
“Apapun yang berlaku di luar sana, kita kena jaga anak-anak kita di Felda dengan meningkatkan kualiti pendidikan.
“Selain itu, tingkatkan juga tahap kemahiran anak muda kita supaya mereka akhirnya dapat berkhidmat kendiri tanpa memerlukan sokongan kerajaan.
“Anak-anak Felda yang mendapat kualiti pendidikan yang baik akan mampu untuk menyumbang terhadap pembangunan Felda di seluruh negara,” katanya semasa merasmikan Karnival Segalanya Felda Wilayah Segamat di Felda Pemanis 1, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Anuar Manap dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Masni Wakiman.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan dan meminta masyarakat yakin terhadap pengurusan Felda bagi menerajui agenda penting untuk warganya.
Karnival Segalanya Felda yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertujuan mengetengahkan aktiviti keusahawanan, kebudayaan, makanan dan produk keluaran Felda kepada masyarakat. – UTUSAN










