Agihan vaksin AstraZeneca sukarela diperluas seluruh negara - Utusan Malaysia

Agihan vaksin AstraZeneca sukarela diperluas seluruh negara

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program agihan vaksin jenis AstraZeneca secara sukarela akan diperluaskan ke seluruh negara kelak susulan sambutan luar biasa diterima terhadap pendaftaran janji temu vaksin itu semalam.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) merancang pelaksanaan menyeluruh itu apabila lebih banyak dos tiba dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau berkata, negara akan menerima penghantaran kedua membabitkan 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca pada bulan ini di bawah fasiliti Covax selain 600,000 dos pada Jun, 410,000 dos (Julai) dan 1.2 juta dos lagi pada pertengahan Ogos dan September depan.

“Kami juga memutuskan untuk terus mengekalkan konsep agihan AstraZeneca secara sukarela pada masa depan.

“Selain itu, kami juga akan memperluaskan sistem tempahan pendaftaran di klinik-klinik komuniti bagi memudahkan mereka yang tiada akses kepada kemudahan Internet,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK, di sini hari ini.

Khairy berkata, penawaran secara sukarela bagi vaksin jenis itu dibuat selepas pihaknya mendapati sehingga 8,000 individu yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui PICK, membatalkan pendaftaran masing-masing selepas mengetahui AstraZeneca antara vaksin ditawarkan.

Khairy berkata, ada juga yang tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) untuk menerima suntikan masing-masing.

“Selepas kerajaan mengumumkan pemberian AstraZeneca dibuat secara sukarela, sehingga 80 peratus daripada mereka yang membatalkan pendaftaran kembali mendaftar melalui PICK.

“JKJAV akan menilai semua pembatalan itu dengan mendalam dan laporannya akan diumumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, beliau meminta Kerajaan Negeri Sarawak mempertimbangkan semula penggunaan vaksin jenis AstraZeneca susulan sambutan luar biasa terhadap vaksin itu semalam.

Menurutnya, pihaknya bersedia untuk menawarkan semula sekiranya Sarawak mahu mengguna pakai vaksin itu.

“Semalam, kita melihat keyakinan terhadap AstraZeneca sangat baik kerana 260,000 slot bagi suntikan dos pertama habis ditempah tidak sampai tiga jam.

“Saya terbuka untuk tawarkan semula vaksin itu kepada mereka (Sarawak) sekiranya mereka buat keputusan untuk terima AstraZeneca selepas keyakinan ditunjukkan semalam,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian memaklumkan vaksin AstraZeneca tidak akan digunakan di Sarawak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya