ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 57 set bubu kambang atau bubu naga dalam dua operasi yang dijalankan dalam tempoh seminggu di perairan Kuala Kedah dan Kuala Sala dekat sini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti dan penggunaan bubu naga yang aktif di sekitar perairan Kedah.
Berikutan itu katanya, pihaknya telah mengatur gerak untuk memantau kegiatan itu dan mengesan aktiviti berkenaan melalui penemuan pancang penanda yang dipasang pada setiap bubu naga berukuran kira-kira 10 meter panjang di beberapa lokasi berbeza di sepanjang perairan.
“Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985.
“Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM6,840,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengingatkan kalangan nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.
“Pihak Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara,” katanya.
Tambahnya, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.










