4,498 kes baharu, 506 kes ICU, hospital Covid-19 sesak - Utusan Malaysia

4,498 kes baharu, 506 kes ICU, hospital Covid-19 sesak

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sebanyak 22 kematian yang melibatkan seramai 15 lelaki dan tujuh wanita dengan 16 daripadanya adalah warga emas, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua pesakit iaitu 20 warga tempatan dan dua warga asing berusia antara 37 hingga 87 yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit melibatkan sembilan negeri.

“Kematian melibatkan enam kes di Sarawak, Selangor (3), Kuala Lumpur (3), Kelantan (3), Johor (2), Perak (2) manakala Sabah, Kedah, dan Perlis, masing-masing satu kes.

“Antara penyakit yang dikesan iaitu darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis, asma, dislipidemia, gout, jantung, obesiti,  tuberkulosis dan paru-paru obstruktif kronik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, kes positif baharu Covid-19 iaitu 4,498 kes sekali gus mengatasi rekod purata kes baharu sepanjang minggu lalu iaitu 3,000 kes manakala kes sembuh turut merekodkan peningkatan iaitu 3,449 kes dengan kkes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 34,789 kes berbanding semalam, 33,762 kes.

Lebih membimbangkan katanya, sebanyak 506 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sekali gus tertinggi sejak pandemik Covid-19 bermula,manakala 295 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor terus menjadi negeri tertinggi kes positif baharu iaitu 1,424 kes diikuti Sarawak, 750 kes; Kuala Lumpur, 436 kes; Johor, 327 kes; Pulau Pinang, 313 kes; Kelantan, 297 kes; Kedah, 209 kes; Negeri Sembilan, 188 kes; Sabah, 153 kes dan Perak, 148.

“Baki negeri merekodkan Terengganu, 87 kes; Pahang, 78 kes; Melaka, 74 kes manakala Putrajaya, lapan kes; Perlis, empat kes dan Labuan, dua kes,” katanya.

Mengulas mengenai peningkatan kes di ICU, beliau berkata, sebanyak 22 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 70 peratus dengan ada yang mencecah lebih 90 peratus.

“Beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan kerana tidak dapat dipindahkan ke hospital Covid-19 susulan kesesakan ICU.

“Ada juga pesakit yang terpaksa diberi bantuan alat pernafasan di wad-wad biasa,” katanya.

Tambahnya, 19 kluster baharu melibatkan 10 kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster keagamaan dan dua kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan KPM.

10 kluster tempat kerja katanya, KLuster Persiaran Perpaduan USJ melibatkan Petaling, Klang, Kuala Selangor, dan Kuala Langat, Selangor, 43 kes; Kluster Jalan Nouvelle melibatkan Hulu Langat dan Petaling, Selangor, 21 kes; Kluster Jalan Manjalara Idaman di Kepong, Kuala Lumpur, lapan kes; Kluster Udang Harimau di Kepong, Kuala Lumpur, enam kes serta Kluster Jalan Besar Pasir Mas di Pasir Mas, Kelantan, 29 kes dan

“Lima lagi iaitu Kluster Blok D Jalan Pending melibatkan Kuching, Bau, Sibu, dan Samarahan, Sarawak, 54 kes; Kluster Jalan Kempas Pagoh di Muar, Johor, 77 kes; Kluster Ladang LSP melibatkan Kinabatangan dan Sandakan, Sabah, 20 kes; Kluster Jalan Perusahaan Empat melibatkan Kerian serta Larut, Matang, dan Selama, Perak, 26 kes; Kluster Jalan Pkak Ayer Keroh di Melaka Tengah, Melaka, 10 kes.

“Empat kluster komuniti iaitu Kluster Pulau Ketam melibatkan Klang, Petaling, dan Sabak Bernam, Selangor, 22 kes; Kluster Penurin melibatkan Betong dan Kuching, Sarawak, 23 kes serta Kluster Kampung Kochang di Pasir Mas, Kelantan, 24 kes dan Kluster Dah Lengkuas di Kota Setar, Kedah, 16 kes,” katanya.

Beliau berkata, tiga kluster keagamaan iaitu Kluster Jalan Limbang di Miri, Sarawak, 18 kes serta Kluster Beladin di Pusa, Sarawak, 46 kes dan Kluster Dah Utama di Kuala Muda, Kedah, 28 kes.

“Dua kluster sektor pendidikan iaitu Kluster Jalan Pahlawan Empat melibatkan Johor Bahru dan Kulai, Johor,13 kes dan Kluster Jalan Midah Besar di Cheras, Kuala Lumpu, 11 kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya