41 pelajar SM Agama Setiu positif Covid-19 - Utusan Malaysia

41 pelajar SM Agama Setiu positif Covid-19

NOR AZIMI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 41 pelajar Sekolah Menengah (SM) Agama Setiu di Setiu disahkan positif Covid-19 hasil keputusan sampel kedua mereka, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, hingga kini penularan virus berkenaan telah menjangkiti 99 pelajar perempuan di asrama daripada keseluruhan 208 orang.

Katanya, indeks kes itu merupakan seorang guru perempuan yang merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Tok Has yang didaftarkan pada 3 Mei lalu.

“Kasihan pelajar dikuarantin lama di asrama terutama pada Hari Raya Aidilfitri, bukan sahaja mereka yang menderita, malah pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa turut menderita sama.

“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di asrama sangat sukar sebab itu saya selalu ulangi yang virus Covid-19 mesti dihalang masuk ke sekolah bermula dari pintu masuk lagi terutama di sekolah-sekolah berasrama,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.

Menurut Nor Azimi, sekali pun hanya ada satu kes Covid-19 dilaporkan di sekolah mahupun asrama, namun proses kawalan sangat sukar kerana virus berkenaan mampu merebak dengan pantas.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama semua pihak agar sentiasa memastikan kawalan pencegahan yang ketat dan maksimum supaya kluster sama tidak berulang di masa depan.

Dalam perkembangan sama, katanya, satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di Besut semalam membabitkan wanita berusia 63 tahun dari Kampung Gertak 100 yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan angin ahmar.

Katanya, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian di Besut kini seramai 11 orang dengan sebanyak 525 kes positif Covid-19 dilaprikan dalam tempoh dua minggu Mei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN