19 pekerja warga asing didakwa rentas batu halangan, kawat duri - Utusan Malaysia

19 pekerja warga asing didakwa rentas batu halangan, kawat duri

SEBAHAGIAN pekerja warga asing tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban, Seremban 2 bagi didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan merentasi batu halangan (barrier) dan kawat duri yang diletakkan oleh pihak berkuasa di Nilai, Seremban pada 16 Mei lalu. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 19 orang pekerja warga asing didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan merentasi batu halangan (barrier) dan kawat duri yang diletakkan oleh pihak berkuasa pada 16 Mei lalu.

Kesemua mereka yang berusia di antara 20 hingga 42 tahun itu dituduh di dua mahkamah yang berasingan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof dan Norzaliza Tesmin.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan Kerana Pencerobohon Jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan Kerana Perbuatan Khianat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan kepada semua tertuduh di antara RM2,000 hingga RM5,000 seorang, dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah turut menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk panggilan jurubahasa.

Pasport kesemua tertuduh ditahan dan disimpan oleh mahkamah sehingga kes tersebut selesai.

Bagi pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 manakala bagi pertuduhan kedua boleh dipenjara tidak lebih satu tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman,memaklumkan pada 16 Mei lalu, sepasukan anggota polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai mengadakan Op Pematuhan Covid-19 di lokasi Arab Malaysian-Bukit Mahkota iaitu kawasan persempadanan pentadbiran IPD Nilai dan IPD Kajang.

Dalam operasi tersebut, seramai 19 orang warganegara asing yang datang dari arah Bukit Mahkota, Bangi telah ditahan kerana merentasi batu halangan (barrier) serta kawad duri yang diletakkan pihak berkuasa.

Tujuan halangan bagi mengelakkan aktiviti rentas daerah dan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi daerah bersempadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN