BATU PAHAT: Polis mematahkan penjualan rokok tanpa cukai dan mercun sempena Aidilfitri ini hasil penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, suspek ditahan menerusi serbuan Op Kontraban di sebuah premis di Pekan Parit Yaani di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.
“Sebanyak 665 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam dan 1,157 kotak mercun pelbagai jenis dirampas.
“Anggaran nilai rokok seludup berkenaan adalah sebanyak RM29,261 manakala anggaran nilai cukai rokok seludup berkenaan, RM96,703.
“Jumlah anggaran nilai mercun pula adalah sebanyak RM10,034 sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan ini sebanyak RM135,998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dimin, rampasan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) serta Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.
“Serbuan ini berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran mercun bagi musim perayaan Aidilfitri dan rokok tanpa cukai di sekitar Batu Pahat,” katanya.










