1,000 jemaah tunai solat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar patuh SOP - Utusan Malaysia

1,000 jemaah tunai solat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar patuh SOP

JEMAAH menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini, iaitu satu pertiga daripada kapasiti sebenar masjid berkenaan seramai 4,600 jemaah.

Pengerusi masjid tersebut, Mohd. Nazarudin Ali berkata, kemasukan jemaah dibuat secara berperingkat seawal pukul 7.30 pagi di mana jemaah berbaris terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Antara SOP berkenaan termasuklah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, mendaftar dengan aplikasi MySejahtera, membuat imbasan suhu selain jemaah dikehendaki membawa sejadah sendiri.

“Solat sunat Aidilfitri berkenaan dipimpin Imam Abdullah Embong yang turut membacakan khutbah bertajuk Hiasi Aidilfitri Dengan Amalan Yang Mulia,” katanya selepas selesai solat Aidilfitri, di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang jemaah, Muhammad Nazri Halim, 35, memberitahu, walaupun Aidilfitri disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun dia tetap bersyukur meraikannya dengan sederhana.

“Ini kali kedua kita beraya secara PKP, apapun saya berterima kasih kerana kita masih dapat menyambut perayaan dengan aman dan dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid,” katanya yang berasal dari Batu Pahat.

Seorang lagi jemaah, Hairul Jaafar, 40, turut menyuarakan perkara sama apabila dia memberitahu pelaksanaan PKP tidak menghalang untuk dia menyambut Aidilfitri.

“Walaupun tidak dapat pulang ke kampung di Mersing, namun perayaan Aidilfitri tetap disambut, raya tetap raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN