100 asnaf di Kampung Melayu Majidee disantuni menjelang Aidilfitri - Utusan Malaysia

100 asnaf di Kampung Melayu Majidee disantuni menjelang Aidilfitri

MOHD. Ali Mohd. Salleh (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2021 di Kampung Melayu Majidee, Johor. - UTUSAN/KHAIRUL MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pertubuhan Kebajikan Persaudaraan Elit Jaz Malaysia (ECJ Cares) dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee menyantuni 100 asnaf di kampung tersebut.

Penasihat ECJ Cares Johor, Ibrahim Harun berkata, tujuan program itu adalah untuk meringankan beban golongan memerlukan khususnya dalam menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, pihaknya menyumbang RM20,000 untuk diagihkan kepada 200 asnaf berdaftar yang telah dikenal pasti.

“Kami sedar banyak pihak yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara ketika ini.

“Apatah lagi dengan sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, maka inisiatif seperti ini dianjurkan pihak ECJ Cares seluruh negara,” katanya yang ditemui pada program tersebut di Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Setiap asnaf menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti makanan kering, minuman, seekor ayam, kuih raya dan beberapa barangan lain.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan Islam Kampung Melayu Majidee, Mohd. Ali Mohd. Salleh memberitahu, program berkenaan merupakan program tahun yang dianjurkan pihaknya.

“Tahun ini merupakan tahun ketujuh program ini diadakan di mana tujuannya adalah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik agar dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak ECJ Cares kerana menjadi penaja program tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN