10 sekeluarga di Kampung Pelagat 3 ‘lari’ sebelum PKPD - Utusan Malaysia

10 sekeluarga di Kampung Pelagat 3 ‘lari’ sebelum PKPD

DR. NOR AZIMI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seramai 10 sekeluarga dari Kampung Pelagat 3 di sini didapati lari meninggalkan kediaman mereka sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuatkuasa semalam hingga 27 Mei ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, tindakan tidak bertanggungjawab keluarga berkenaan berisiko menularkan lagi virus Covid-19 ke tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, beliau difahamkan pergerakan 10 beranak berkenaan sudah berjaya dikesan.

“Setakat ini, sebanyak 54 kes Covid-19 dikesan di Kampung Pelagat 3 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 1,094 kes di daerah ini, yang merupakan tertinggi di Terengganu.

“Saya minta warga Besut daripada semua lapisan masyarakat agar bersungguh-sungguh dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di samping mengehadkan pergerakan atau elak berkumpul beramai-ramai bagi memutuskan jangkitan Covid-19,” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook hari ini.

Nor Azimi berkata, bilangan kes aktif yang direkodkan di Besut kini seramai 393 orang dengan angka kematian sebanyak 11 orang dan 11 kluster yang dipantau. 

Katanya, ramai dalam kalangan masyarakat masih mengambil mudah kebolehjangkitan Covid-19 hingga menyusahkan banyak pihak.

“Kalau ada yang masih tidak faham, virus Covid-19 berterbangan melalui titisan semasa bercakap, bernafas dan bersin, jadi patuhilah SOP untuk mengurangkan risiko jangkitan

“Jika SOP gagal dipatuhi tidak mustahil kita akan berdepan dengan kluster yang lebih besar dan pada masa itu berkemungkinan kemudahan kesihatan yang ada tidak lagi mencukupi untuk menampung peningkatan bilangan kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN