‘Tidak lagi terjaga tengah malam kena hujan’ - Utusan Malaysia

‘Tidak lagi terjaga tengah malam kena hujan’

HAYAZI ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Tidak lagi terjaga di tengah malam akibat terkena tempias air hujan disebabkan atap bocor setelah menerima rumah baharu yang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Projek Baiti Jannati.

Itu pengalaman Hayazi Zakaria, 46, dari Kampung Permatang Bongor, Simpang Empat yang sebelum ini sering berasa resah setiap kali musim hujan kerana rumah pusaka peninggalan orang tuanya, bukan sahaja bocor, malah tiangnya juga sudah dimakan anai-anai.

Pemandu bas tersebut berkata, tidur dia bersama isteri dan empat anak berusia 10 hingga 21 tahun, sering kali terganggu setiap kali hujan lebat dan perlu bangun untuk beralih tempat supaya tidak dibasahi air.

“Saya amat bersyukur apabila dipilih menerima bantuan rumah baharu ini. Sebelum ini rumah kami yang ada pun bahagian dapur sahaja, bahagian utama memang tidak selesa dan bocor sana sini.

“Alhamdulilah, setelah membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada tahun lepas, kami terpilih menerima bantuan ini. Sudah kira-kira seminggu kami berpindah dan keadaan rumah memang amat selesa sekali,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat TNB peringkat negeri serta Penyampaian Zakat Perniagaan TNB Perlis 2019 di Hotel Seri Malaysia Kangar, Persiaran Wawasan di sini.

Penerima bantuan rumah melalui Projek Mesra Rakyat khas untuk penerima bukan Islam, Chan Leong Jin, 45, pula berkata, rumah baharu yang siap sebelum sambutan Tahun Baru Cina sebelum ini merupakan hadiah bermakna untuk dia sekeluarga.

Pesawah yang tinggal di Kuala Sanglang itu memberitahu, rumah baharu berkenaan turut memberi keselesaan kepada adiknya yang sakit akibat kemalangan berhampiran rumah mereka.

“Rumah kami dahulu rumah kayu peninggalan datuk saya lagi. Rumah itu sudah usang dengan atap bocor serta dimakan anai-anai.

“Kini, saya bersama adik, kakak ipar dan anak saudara dapat tinggal di rumah yang lebih selesa. Saya amat berterima kasih kepada TNB atas bantuan yang diberikan ini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya