Tidak boleh diam diri rasuah membarah dalam PDRM - Utusan Malaysia

Tidak boleh diam diri rasuah membarah dalam PDRM

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendidikan adab dan budi dan wajar diwujudkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mereka mempunyai kekuatan minda agar tidak terjebak di dalam budaya rasuah yang kini semakin membarah dalam institusi tersebut.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, gejala rasuah yang wujud di dalam kalangan masyarakat termasuk PDRM akibat kurangnya adab dan budi sehingga mereka gagal menterjemahkan nilai-nilai murni di dalam kehidupan seharian.

Jelasnya, masyarakat kini tidak boleh hanya berdiam diri terhadap rasuah yang berlaku di dalam PDRM dan perlu dilakukan sesuatu untuk menanganinya dengan segera.

“Kita dengar terserlah dengan rasuah besar dalam polis, apakah kita perlu diam sahaja? Saya menyatakan dan mohon sangat PDRM perlu belajar disiplin, belajar budi dan belajar adab dalam perkhidmatan mereka agar tidak curi tulang.

“Jika polis curi tulang, kepada siapa untuk kita serahkan masa depan negara,” katanya sebagai panelis dalam Siri Dialog Sosio Budaya bertajuk Adab dan Budi Rakyat Sebuah Negara Sejahtera: Bagaimana Kedudukan Kita di Malaysia anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) yang secara dalam talian menerusi platform Facebook hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pengakuan dua bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor dan Tan Sri Musa Hasan bahawa isu rasuah membabitkan pegawai dan anggota polis terutama rasuah telah berlaku turun-menurun dan ia semakin membarah.

Kedua-dua bekas orang kanan PDRM itu mengulas pendedahan akhbar ini berhubung 34 anggota dan pegawai polis termasuk Deputi Superintenden yang disyaki menjadi tali barut kepada beberapa kumpulan jenayah terancang.

Sementara itu, Rais menggesa Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan subjek budi dan adab bagi menekankan aspek tersebut kepada murid dan pelajar sekolah memandangkan budaya itu kini dilihat pupus dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, malah kumpulan ahli Parlimen dan pemimpin politik wajar sama diberikan penekanan sama dengan mereka perlu diberikan latihan budi seperti diwajibkan ke atas penjawat awam di Institut Tadbiran Awam Negara Negara (Intan).

“Pemimpin mesti ada satu institusi untuk diajar mereka bagaimana bertutur di Parlimen dan diajar untuk tunai janji. Hal ini kerana kalau di Parlimen seolah-olah pemimpin hari ini telah lupa budi sama ada melalui kata-kata atau aksi badan yang tidak sepatutnya dilakukan mereka.

“Sama ada di sekolah atau Parlimen, adab dan budi telah pupus apabila tidak lagi dipratikkan dalam kehidupan masing-masing,” katanya.

Selain Rais, antara panelis dialog tersebut adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob dan Team Ahli Pemikir Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohd. Said manakala Pengerusi Dewan Sosio Budaya MDN, Datuk Dr. Halim Hamat bertindak sebagai moderator. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya